Ya, kita 'tahu' kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita
'faham' dan 'jelas' samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun
belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti 'checklist'
berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT
menempati cinta paling utama di hati kita.
1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
"Allahu akbar! Allahu akbar!" Allah SWT memanggil. Tika itu kita
sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita
pada panggilan-Nya?
"Di atas nama cinta pada yang selayaknya...kunafikan yang fana..."
Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab
esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan
keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika
Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah
SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan
berasal daripada diri kita sendiri.
Misalnya, keinginan memilih pakaian.
Wajarkah orang yang cinta kepada
Allah SWT berkata begini: "Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans
ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah." Sudahkah ditanya kepada
Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT
diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita
utamakan.
Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka
menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya
tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa
yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita
memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik
bergelumang dosa tanpa taubat?
2. Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya
apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email
daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya. Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda, "Bacakan al-Quran kepadaku."
Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa': ayat 41.
Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata
sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).
Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya'ri yang
sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan
menangis. (HR BukhariMuslim).
Suatu saat Abu Musa al-Asya'ri datang kepada Umar. Umar
berkata,"Ingatkan kami kepada Tuhan kami."
Lalu al-Quran dibacakan.
Umarpun menangis.
Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya.
Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi
perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap
al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan
facebook.
3. Memandang MMS-Nya Selalu.
Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat
memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh
memandang 'kebesaran-Nya'.
Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang
menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut
yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya
membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha
Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang.
Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa
kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa
ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita
semakin cinta kepada Ilahi.
4. Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.
Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan
akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas
lalu sahaja.
Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung
bakal ibu mertua? Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?
Bagaimana pula saat berhadapan dengan 'orang besar' atau Raja?
Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita
memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk.
Betul tak?
Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia
pada kedudukan orang yang memandang kita itu.
Allah SWT pernah memuji
kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi'raj.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Penglihatanya (Muhammad) tidak
berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya
(tidak memandang dengan tajam)." (An-Najm: 17).
Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala
itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan
Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat.
Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di
hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan
memfokuskan pandangan ke tempat sujud.
Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat,
bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai
bukti kita cintakan Dia.
5. Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.
Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui.
Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang." (Al-Ankabut: 5).
Rindu pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis
ilmu yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada
rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan
rindukan kebenaran.
6. Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.
Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata, kita sama-sama jadikan
Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja,
pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. Mudah
sahaja,
contohnya:
"Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni."
"Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya."
Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang
mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering
mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan
mengingatinya di saat susah.
Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.
Samada zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak
akan mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala.
Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya.
Adakah kita juga menghargai Dia?
7. Bersabar dengan Ujian Allah
Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat
mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak
tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak
pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan
tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan
batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang
musuh.
Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata
Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup
tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah
agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu
ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT
sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih
mencintai Dia.
8. Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Jika sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat.
Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada.
Malah, perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah
cinta.
Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT? Sudah tentu
apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu bukti
kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim kepada
Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga
dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.
Jika masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah
Allah yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi
tanpa kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.
9. Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Sungguh, orang-orang yang beriman
ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila
dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya
kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal."(Al-anfal:2).
Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha
mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang
tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.
10. Cemburu
Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah
SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih
kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang
positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama', dan orang yang
lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk
mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang
solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk
kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.
11. Berusaha keras meraih redha Allah.
Seterusnya, bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup
melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi
pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
Cinta kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat
ini, buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!
- Artikel iluvislam.com
Ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin. Beliau merupakan penulis
novel tauhid. Terbaru beliau menghasilkan novel Sebarkan CintaMu
terbitan PTS. Beliau juga menulis di http://sebarkanbahagia.blogspot.com
No comments:
Post a Comment